‘Geng Ta’alim’ Berkongsi Ilmu Bersama Ustaz Don

‘Geng Ta’alim’ Berkongsi Ilmu Bersama Ustaz Don

‘Geng Ta’alim’ membawa perkongsian ilmu dan pengajaran berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW untuk dijadikan panduan hidup kepada masyarakat. Program terkini Astro Oasis ini diterbitkan oleh Celebrate TV dan turut menyantuni penglibatan pelajar Tahfiz dan kariah masjid di lokasi yang berbeza.

Perkongsian menerusi 10 episod ini dihoskan oleh Ustaz Don Daniyal, pendakwah bebas terkenal Malaysia dan menampilkan barisan selebriti yang sudah berhijrah ke arah kebaikan untuk berkongsi pengalaman dan kisah penghijrahan mereka kepada masyarakat termasuk Nabil Ahmad, Saharul Ridzwan, Ashraf Muslim, Amar Asyraf dan Zaf V.E. Setiap episod membawa tema dan pengajaran yang berbeza mengikut kisah masing-masing untuk dijadikan panduan hidup kepada orang ramai berdasarkan kalam Allah SWT yang disanjung tinggi.

Program dakwah yang menyelit kandungan-kandungan yang dekat dengan jiwa raga setiap manusia ini juga memaparkan kecantikan masjid-masjid ikonik di sekitar Lembah Klang dan Selangor serta memberi penonton penghayatan terhadap peninggalan sejarahnya. ’Geng Ta’alim’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin, jam 7.30 malam mulai 5 September  2022 secara eksklusif di saluran Astro Oasis (106) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro.

‘Geng Ta’alim’ Berkongsi Ilmu Bersama Ustaz Don

PETIKAN KENYATAAN RASMI

Nadirah Karim
Pengurus Saluran Astro Oasis

“Sebagai sebuah platform yang ditontoni ramai, sudah pastinya kami ingin memberikan pengisian yang terbaik untuk semua. Program ‘Geng Ta’alim’ merupakan antara kandungan baharu yang mempunyai pengisian bermanfaat, bukan sahaja mengenai kehidupan harian tetapi juga tentang keindahan-keindahan yang ada di sekeliling kita.

Setiap manusia mempunyai kisah yang boleh memberi inspirasi kepada orang ramai dan wajar dijadikan sebagai teladan, apatah lagi apabila ia datang daripada seseorang yang mempunyai pengikut yang ramai.

‘Geng Ta’alim’ menyelami kisah-kisah penghijrahan selebriti-selebriti terkenal sambil berkongsi pandangan Islam dengan tema-tema yang berguna kepada setiap rakyat seperti solat, ilmu keagamaan di kalangan kanak-kanak dan juga berkaitan Al-Quran dan Maulidur Rasul. Perkongsian seperti inilah yang kami mahu sampaikan kepada penonton-penonton setia Astro. Kami percaya pengisian sebegini lebih berkaitan dengan kehidupan mereka sekaligus memberi pendedahan kepada mereka menerusi hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW.

Penglibatan Ustaz Don Daniyal sebagai hos kali ini membawa impak yang besar. Dengan ilmu- ilmu yang yang sah menerusi hadis-hadis serta cara penyampaian yang santai pasti akan menarik perhatian ramai yang gemarkan inti pati ceramah-ceramah Ustaz Don.

Bukan itu sahaja, setiap episod diiringi selebriti-selebriti yang mempunyai kisah penghijrahan yang menarik dan juga para jemaah serta pelajar-pelajar Tahfiz yang sering memberi pandangan masing-masing. Ini merupakan satu cara yang mengeluarkan keunikan program berkonsepkan pendakwahan di mana setiap yang ada sering berkongsi pengetahuan masing-masing.

Sebagai peneraju utama kandungan-kandungan yang mempunyai pengisian asli yang padat dengan makna tersirat dan tersurat dalam agama Islam, kami juga menyambut penerbitan program dakwah bersama pihak Celebrate TV dengan penganjuran sebuah sidang media buat pertama kalinya daripada Astro Oasis. Penganjuran ini merupakan satu usaha untuk mengetengahkan program-program berkonsepkan keagamaan yang mampu memberi inspirasi kepada para penonton untuk berdakwah ke arah kebaikan. Nescaya yang baik akan diikuti dan yang baharu akan semat di hati.

Dengan inti patinya yang padat dengan ilmu dan pengajaran, kami berharap misi untuk menyampaikan dakwah ini sampai dan diterima oleh para penonton Astro. Sudah semestinya sesiapa sahaja yang menonton setiap episod yang ada pasti akan membuka mata dan hati mereka untuk menjadi lebih baik dan berjiwa cemerlang. ‘Geng Ta’alim’ pasti akan memberi anda pengetahuan tentang budaya Ta’alim dengan lebih meluas.”

‘Geng Ta’alim’ Berkongsi Ilmu Bersama Ustaz Don

Irsyad Syafiqi Bin Zaman
Pengarah Program ‘Geng Ta’alim’

“Program Geng Ta'alim yang dicetuskan oleh Celebrate TV ini sangat santai dalam perkongsian ilmu dan dakwah Islam. Selain memaparkan keindahan masjid-masjid ikonik di sekitar Lembah Klang dan Selangor, penonton juga pasti selesa dengan penyampaian Ustaz Don Daniyal selaku pengacara yang diiringi barisan artis tanah air seperti Nabil Ahmad, Amar Asyraf, Ashraf Muslim, Zaf V.E dan Saharul Ridzwan. Program musim pertama ini juga turut menyantuni penglibatan pelajar Tahfiz dan kariah masjid di setiap lokasi.

Cabaran utama kami ialah ketika di fasa pemilihan hadis. Kami perlu memastikan isi kandungan program ini sesuai dan dapat memenuhi keperluan jiwa dan gaya hidup segenap lapisan masyarakat moden hari ini. Melalui Geng Ta’alim ini, penonton akan mendapati bahawa perkongsian hadis dan kalam Allah dari Al-Quran sememangnya terbukti relevan dan patut dijadikan contoh serta rujukan sebagai panduan hidup.

Program Geng Ta’alim ini juga mampu memberikan galakkan kepada masyarakat untuk menghidupkan kembali budaya Ta’alim seawal dari rumah. Aktiviti perkongsian ilmu seperti ini dapat mendidik institusi keluarga dan masyarakat untuk terus berdakwah, menimba ilmu, berkongsi pendapat dan pengalaman, serta memastikan hubungan silaturahim sesama ahli menjadi lebih erat dan utuh hanya kerana Allah.

Dengan penggunaan bahasa yang sangat santai dan bersahaja, kami berharap program ini dapat memberikan impak kepada jiwa penonton. Semoga Geng Ta'alim akan membuka lembaran baharu dan menjadi budaya dalam institusi keluarga dan masyarakat di Malaysia.”

TRIVIA MENARIK PROGRAM ‘GENG TA’ALIM’

  1. Program dakwah berbentuk santai ini amat menekankan aspek perkongsian ilmu yang boleh dimulai dengan penglibatan orang terdekat terutamanya keluarga, kenalan rapat, rakan sekerja dan sahabat handai. Program ini sesuai ditonton oleh segenap lapisan masyarakat.
  2. Selain dakwah, program ini juga bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bertamu di 5 buah masjid ikonik terpilih di Kuala Lumpur dan di sekitar Selangor. Keunikan dan cerita di sebalik setiap masjid pasti mampu meruntun hati penonton.
  3. Program ini telah melibatkan gabungan seramai 70 orang pelajar dari Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Madrasah Tahfiz Mafatihul Ulum, dan Maahad Tahfiz Dhiya Ulislah.
  4. Program ini turut melibatkan gabungan seramai 333 orang jemaah masjid dan kariah yang secara langsung dan tidak langsung dirakam ketika penggambaran pada waktu Zohor dan Asar.
  5. Hanya terdapat satu episod sahaja yang melibatkan jemaah wanita seramai 30 orang yang dirakam di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya. Episod ‘Semangat Juang di Kalangan Wanita’ itu diserikan dengan penampilan pelakon filem tanah air, Ashraf Muslim.
  6. Program ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada barisan selebriti tanah air untuk berkongsi pengalaman dan kisah hidup mereka yang boleh dijadikan pengajaran dan panduan untuk para peminat.

SENARAI ARTIS JEMPUTAN ‘GENG TA’ALIM’

  1. Nabil Ahmad
  2. Saharul Ridzwan
  3. Ashraf Muslim
  4. Amar Asyraf
  5. Zaf V.E

‘Geng Ta’alim’ Berkongsi Ilmu Bersama Ustaz Don

LOGLINE PROGRAM ‘GENG TA’ALIM’

Sebuah program dakwah yang dihoskan oleh Ustaz Don Daniyal dan menampilkan selebriti- selebriti yang telah membuat hjirah ke arah kebaikan termasuk Nabil Ahmad, Saharul Ridzwan, Ashraf Muslim, Amar Asyraf dan Zaf V.E

SINOPSIS PROGRAM ‘GENG TA’ALIM’

Geng Ta’alim adalah sebuah program yang berunsurkan penyampaian pengajaran melalui perkongsian hadis dalam membangunkan jiwa yang lebih cemerlang. Dihoskan oleh figura Islamik terkenal iaitu Ustaz Don Daniyal, program ini menampilkan barisan selebriti seperti Nabil Ahmad, Ashraf Muslim, Amar Ashraf, Zaf V.E dan Saharul Ridzwan untuk berkongsi tentang pandangan Islam menerusi hadis-hadis Rasulullah SAW bersama para jemaah.

Post a Comment

2 Comments