Drama ‘Scammer 2’ Memapar Sisi-Sisi Tersembunyi Sharifah Sofia

Scammer 2

Pembalasan dendam, pengkhianatan, perhubungan kekeluargaan serta persahabatan merupakan titik utama yang diketengahkan dalam penceritaan drama sekuel kedua keluaran Astro Ria iaitu ‘Scammer 2’. Drama terbitan Radius One Sdn Bhd ini mengangkat barisan pelakon-pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Farah Nabilah, Zahiril Adzim dan Diva Azwan Ali serta diarah oleh Norhanisham Labu Ahmad.

Drama ini turut memaparkan pelakon Sharifah Sofia yang kini membuat comeback di kaca televisyen. Pasti ramai merindui Sofia yang pernah berlakon drama ‘Astana Idaman’ pada musim pertama.

Menerusi Scammer 2, watak Sofia dimasukkan ke penjara setelah aktiviti scam yang dijalaninya terkantoi. Sofia merupakan antara scammer terbesar di Malaysia. Wanita ini ingin keluar dari penjara dengan meminta bantuan Muna, rakan scammernya. Muna mengupah Taqriz sebagai peguam untuk melepaskan Sofia dari penjara tanpa sedar yang Taqriz sedang memanipulasi Muna dan Sofia untuk membalas dendam atas kematian ayahnya yang menjadi mangsa scam Muna dahulu. Apakah yang akan terjadi kepada Sofia setelah dikeluarkan oleh Taqriz daripada penjara? Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah watak Taqriz dan Sofia akan membuat plot drama ini lebih menarik.


Keunikan watak Sofia ini menarik perhatian pelakon wanita berkacukan Inggeris-Melayu ini setelah lama tidak muncul di kaca televisyen. Menurut Sharifah Sofia, dahulunya dia pernah mendapat watak jahat yang seakan-akan nakal, kali ini dia dapat menunjukkan sisi yang berbeza kerana watak jahatnya adalah lebih ganas dan serupa seorang gangster.

“Bukan tak biasa pegang watak jahat tapi kali ini kita bertudung dan meringkuk di dalam penjara. Dulunya watak jahat Sofia seakan-akan nakal, tetapi sekarang watak jahat ini seakan-akan gangster dan ganas”, tambahnya.

“Watak Sofia dalam drama ini merupakan salah seorang antagonis. Waktu saya menerima tawaran ini, saya pun tidak begitu jelas dengan karakternya tetapi bila sudah sampai di lokasi penggambaran, saya berasa seronok kerana dapat bekerja dengan Encik Labu, pengarahnya dan juga Beto yang memainkan watak utama dalam drama ini”, hujahnya mengenai wataknya sebagai Sofia, seorang bekas scammer yang telah dimasukkan ke dalam penjara.

“Kadang-kadang watak ini membuat Sofia berasa nak cuba buat combat training pulak”, tambahnya sambil ketawa.

Pembabitan Sharifah Sofia dalam drama ini bagaikan tidak diduga kerana tawaran diberikan pada saat-saat akhir yang mengujakannya. Tambah Sharifah Sofia, “Drama ‘Scammer 2’ kali ini memang datang pada saat akhir sangat. Hari ini saya dapat panggilan, esok mereka sudah panggil untuk mulakan penggambaran.”

“Alhamdulillah, ketika itu saya memang tidak sibuk sangat jadi saya pun terima sahaja tawarannya. Lagipun, saya memang sudah mengetahui tentang drama ini daripada musim pertamanya. Cuma kali ini saya tidak tahu yang barisan pelakon-pelakonnya pun ditukar. Walau bagaimanapun, saya masih seronok bekerja dengan geng-geng ‘Scammer 2’ kali ini.”

Penceritaan menerusi 24 episod ini memaparkan sisi-sisi tersembunyi Sharifah Sofia yang diteguni ramai oleh kerana bakatnya yang belum pernah dilihat oleh netizen. Pembabitan Sofia dalam Scammer 2 juga meraih respons serta keterujaan penonton atas kemunculannya semula di kaca televisyen selepas melihat lakonan-lakonannya yang hebat dalam drama sebelumnya, lebih-lebih lagi dengan perwatakannya yang gelap dan sinis dalam drama ini.

Ketika ditanya mengapa lama tidak berlakon, Sharifah Sofia berkata, “Sebenarnya, bermula daripada Covid-19 lagi saya sudah mula mengambil tawaran berlakon balik. Mungkin tidak ramai yang perasan kerana kebanyakan cerita yang saya lakonkan masih lagi belum disiarkan di kaca televisyen.”

Scammer 2
Pelakon Sharifah Sofia sebagai Sofia dalam ‘Scammer 2’

Menerusi drama ini, Sharifah Sofia juga dapat belajar pelbagai teknik lakonan daripada Norhanisham “Labu” dan juga barisan pelakon-pelakon yang lain. Katanya, dia berharap kemunculannya semula di kaca televisyen menerusi drama ini dapat diterima oleh orang ramai kerana sekuel ‘Scammer 2’ ini mempunyai penceritaan yang berbeza dengan ‘Scammer 1’.

“Penonton perlu tengok dan fahami isi-isi tersirat dalam drama ini termasuk karakter-karakter dan dialognya. Penonton juga boleh ikuti kami di media sosial. Bukan kerana drama ini memerlukan fikiran yang banyak, tetapi kerana jalan penceritaannya memang diperlukan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.”

“Zaman sekarang ini, manusia mudah discam, daripada orang buta jual tisu di tepi jalan sampailah orang-orang yang kononnya beriman. Scammer-scammer ini berada di mana-mana sahaja”, kata ibu kepada dua orang anak ini.


Selain itu, watak utama ‘Scammer 2’ yang dimainkan oleh pelakon Beto Kusyairy adalah sangat penting kerana dia juga merupakan salah seorang watak yang akan terus membawa plot cerita ini ke tahap yang lebih epik. Ditanya tentang cabaran yang dia hadapi sepanjang penggambaran drama ini, Beto berkata kali ini dia memainkan tiga watak sekaligus. Watak asalnya sebagai Taqriz dan watak dalam misi iaitu Takim dan Taufiq.

“Tuntutan dari situ, emosi dan fizikal watak itu agak berat namun itu satu keseronokan buat saya. Itulah antara tuntutan yang paling tinggi iaitu emosi dan fizikal. Ada banyak babak-babak pergaduhan. Emosi juga berat dan macam-macam lagi”, kata Beto Kusyairy.

Bila ditanya lagi tentang wataknya sebagai Taqriz, Beto berkata, “Memainkan watak Taqriz memang menarik kerana dia ialah seorang yang penuh dengan konflik, dilemma, tekad dan nekad. Kesemua itu dirungkai dengan baik dari sudut skrip dan lakonan serta ada juga babak-babak yang diubah mengikut kesesuaian.”

Bukan itu sahaja, Beto Kusyairy juga digandingkan dengan pelakon-pelakon yang berbakat seperti Zahiril Adzim dan Azwan Ali. Persahabatan yang sudah pun terjalin antara Beto Kusyairy dan Zahiril Adzim membuatkan mereka lebih mudah untuk bekerjasama. Ulas Beto, “Ini bukan kali pertama kami bekerjasama. Masing-maisng dah tahu permainan masing-masing.”

Ditanya pula tentang tentang watak yang dimainkan oleh Azwan Ali, Beto berkata yang dia kenal pesona Bernama Azwan Ali sejak masih digelar pelajar lagi. Baginya, dia tidak pernah terfikir akan berkongsi satu frame dengan dia. Beto juga terpegun dengan pelakon itu kerana dia memang seorang yang berbakat dan profesional dalam pekerjaannya.

“Saya kenal pesona bernama Azwan Ali sewaktu saya masih bersekolah dan diamasih hos di program muzik.Tak terfikir nak berkongsi frame, sparring bersama”, katanya.


Norhanisham Labu Ahmad, selaku pengarah drama ‘Scammer 2’ berkata isu-isu sosial semasa seperti sindiket harta dan wang bukanlah sesuatu yang asing lagi bagi kita, lebih-lebih lagi pada masa kini. Namun, hal ini masih lagi berlaku di kalangan orang ramai tanpa rasa belas kasihan.

“Daripada musim pertamanya lagi kami ingin mengetengahkan pengajaran bahawa jangan mudah terpedaya dengan penipuan dalam realiti hidup kerana ia mampu meletakkan kita dan orang yang kita sayangi dalam keadaan yang bahaya, sama seperti apa yang kami ingin terapkan dalam Scammer 2.”

Ditanya tentang cabaran yang dihadapi ketika proses penggambaran drama ini, Norhanisham berkata mereka sukar mendapatkan babak-babak yang menarik bagi menguatkan plot-plot ceritanya oleh kerana kesuntukan masa. Dari segi penceritaan pula, banyak bahagian yang perlu difikirkan untuk mengeluarkan drama yang lebih berkualiti. Namun, dia bersyukur kerana barisan pelakon sekuel kedua ini memang hebat-hebat belaka dan dia sangat berpuas hati selepas dapat bekerja dengan mereka.

Tentang harapan Norhanisham terhadap drama ‘Scammer 2’ ini, dia berkata drama ini mempunyai pelbagai elemen yang berbeza termasuk kisah percintaan, perhubungan kekeluargaan serta agama untuk membuat para penonton berasa lebih dekat dengan penceritaannya.

“Kami berharap drama rantaian ‘Scammer 2’ kali ini mendapat sambutan yang lebih daripada penonton. Kami juga berharap agar penonton-penonton drama ini puas dengan jalan ceritanya sepertimana musim sebelumnya dikeluarkan. Yang paling penting, kami berharap menerusi drama ini, rakyat kita akan lebih berhati-hati dalam memilih keputusan dalam hidup supaya tidak termakan dengan sindiket dan penipuan”, hujahnya.

Drama ‘Scammer 2’ ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 18 April 2022 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.


TRIVIA MENARIK DRAMA ‘SCAMMER 2’


1.    Scammer 1 telah menjadi perbualan orang ramai ketika ditayangkan oleh kerana konsep, jalan cerita dan kualiti produksinya. Untuk Scammer 2, ia adalah versi yang dinaik taraf daripada musim sebelumnya.

2.    Musim kali ini membawa isu ‘scamming’ yang lebih mengena dan berkaitan dengan penonton kerana setiap plot yang diberikan memberi perasaan yang mudah difahami oleh orang ramai.

3.    Tema yang dibawa dalam drama ini seperti kisah percintaan, pembalasan dendam, hubungan kekeluargaan, persahabatan dan pengkhianatan juga telah diberikan lebih emosi dan pembaharuan daripada musim sebelumnya. Namun, sisi unik penceritaan Scammer 1 masih dikekalkan dalam Scammer 2.

4.    Gandingan pelakon-pelakon hebat iaitu Beto Kusyairy dan Zahiril Adzim, dikenali dengan watak mereka dalam KL Gangster Underworld, Farah Nabilah, salah seorang pelakon wanita yang diminati ramai serta suntikan elemen ‘x-factor’ oleh pelakon Azwan Ali yang memainkan salah satu watak penjahat dalam drama ini menguatkan lagi barisan pelakon-pelakonnya dengan pelbagai karakter.

5.    Isu “Penunggang Agama” memanipulasikan “anak tahfiz” telah menjadi viral beberapa tahun lepas dan masih berterusan menjadi perbualan orang ramai. Isu ini juga merupakan elemen yang penting dalam penceritaan drama ini.

6.    Lokasi penggambaran Scammer 2 telah dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.


PECAHAN WATAK DRAMA ‘SCAMMER 2’


  • Beto Kusyairy sebagai Taqriz
  • Farah Nabilah sebagai Liya
  • Zahiril Adzim sebagai Rudi
  • Diva Azwan Ali sebagai Hanif
  • Iman Corinne Adrienne sebagai Muna
  • Enny Ridwan sebagai Hajar
  • Razzuan Rosli sebagai Paup
  • Sharifah Sofia sebagai Sofia
  • Shatirah Amanda sebagai Yanti
  • Sadiq M. Jamil sebagai Lobak
  • Gobbinath Batumalai sebagai Praba/Prabu
  • Ainina Ahmad sebagai Imah
  • Norlia Ghani sebagai Nenek
  • Adam Darwisyh sebagai Adam


LOGLINE DRAMA ‘SCAMMER 2’


Mengisahkan seorang bekas banduan dalam usaha untuk membalas dendam kematian bapanya tanpa mengetahui yang usahanya akan menyebabkan hidup orang-orang yang dia sayangi berada di dalam bahaya.


SINOPSIS DRAMA ‘SCAMMER 2’


Taqriz mahu menuntut bela atas kematian ayahnya, Cikgu Shah, yang menjadi mangsa fitnah dalam urusan penjualan tanah di kampung mereka. Arwah Cikgu Shah dituduh menipu orang kampung dan mengaut semua duit jualan tanah. Rudi, kawan sekampung Taqriz tawarkan diri untuk membantunya tetapi Taqriz tidak percayakan sesiapa. Sasaran Taqriz ialah Muna, pemilik syarikat hartanah dan Hanif, seorang peguam yang dipercayai telah menipu pemilik tanah dan jadikan arwah ayah Taqriz sebagai kambing hitam.

Untuk menyelinap masuk dalam syarikat Muna, Taqriz mempergunakan Liya, seorang bekas ‘scammer’ yang diburu polis untuk menyamar sebagai pekerja baharu syarikat Muna untuk mengumpul bukti kes penipuan tanah itu. Manakala Taqriz pula menyamar sebagai pembantu peguam dan bekerja dengan Hanif untuk mencari bukti penglibatan Hanif dalam kes yang menyebabkan kematian ayahnya. Satu demi satu pembongkaran didedahkan sehingga Taqriz sedar ada ramai lagi yang terlibat dalam penipuan tanah itu, termasuklah orang yang dekat dengan dirinya.

Post a Comment

2 Comments

  1. Bagus juga buat cerita pasal scammer nie.. biar terbuka sikit mata orang ramai..

    ReplyDelete
  2. Lama Sharifah Sofia ni tak berlakon. Scammer 2 mesti lagi menarik dan best, pelakon pun hebat hebat ni.

    ReplyDelete