![]() |
Setia Itu Mahal | TV3 Malaysia |
Setia Itu Mahal mengisahkan Dalina Rizwani (Anna Jobling) seorang gadis yang masih bertatih untuk membina kerjaya sebagai pereka fesyen terkenal. Suatu hari, Dalina bertemu Doktor Hakim Amirullah (Zahiril Adzim) yang menjadi pelanggan setia warung ibunya.
Dalina mula terjatuh hati dan menerima lamaran Hakim apabila lelaki itu selalu menolong dia dan ibunya, dan menyokong kerjayanya.
Selepas enam tahun, perkahwinan mereka bahagia dan mempunyai seorang anak perempuan bernama Alia (Maya Fathia). Dalina juga sudah berjaya dan mempunyai butik sendiri berkat sokongn suami dan keluarganya.
Kebahagiaan mereka mula goyah dengan kemunculan semula Dr Hanis Sofea (Rita Nadira) dan Tengku Farid (Redza Rosli).
Sofea pernah menyimpan perasaan pada Hakim namun kecewa apabila mengetahui Hakim memilih Dalina sebagai isteri. Sofea pergi menyambung pelajaran untuk mengubat hati yang terluka dan kini kembali semula bertugas di hospital yang sama dengan Hakim.
Dalina berasa cemburu dan tidak senang dengan kehadiran Sofea yang mempunyai hubungan rapat dengan suaminya.
Tengku Farid pula merupakan cinta pertama Dalina namun hubungan mereka terhalang oleh keluarga Farid kerana keluarga mereka yang tidak setaraf. Farid terpaksa berkahwin dengan Tengku Natasya (Sharifah Husna) atas desakan bapanya, Tengku Zahim (Riezman Khuzaimi).
Farid tidak bahagia dengan perkahwinan tersebut kerana sikap Tasya yang terlalu dominan di samping Farid masih tidak dapat melupakan Dalina. Tengku Zahim dan adiknya Tengku Faizal (Arfie Shah) sanggup melalukan apa sahaja untuk memastikan Farid tidak kembali kepada Dalina termasuk mengugut dan menjatuhkan kerjaya Dalina.
Apa yang akan berlaku apabila Farid muncul semula dalam hidup Dalina? Adakah Dalina akan terus setia pada Hakim atau kembali semula kepada cinta masa lalunya?
0 Comments