Ketamakan Menantu, Dendam Mentua Dalang Drama Terkini Astro Prima, Jesnita

Drama Jesnita Astro Prima

Mampukah seorang antagonis wanita berubah menjadi heroin? Penonton-penonton Astro Prima bakal disajikan dengan sebuah drama yang memaparkan kisah seorang wanita muda yang dahagakan kemewahan dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkannya menerusi ‘Jesnita’. Jesnita yang merupakan heroin antagonis drama terkini Astro Prima untuk slot Tiara pasti akan memukau peminat-peminat drama tempatan dengan penceritaan yang penuh helah dan saspens.

Drama yang berunsurkan thriller, mystery dan crime sekali lagi mempertaruhkan wanita sebagai tunggak utama. Jesnita mempergunakan waris perniagaan kaya, Zaid untuk mengejar cita-citanya untuk menjadi kaya dan senang-lenang. 

Apabila suaminya di ambang muflis, Jesnita yang terdesak mengalihkan perhatiannya kepada Rafael, rakan niaga Zaid. Perkahwinan Jesnita dengan Rafael yang sepatutnya menjadi kemenangan dicemari dengan kejutan bahawa dia merupakan isteri kedua. Kehidupan baharunya juga tidak aman apabila bekas ibu mentuanya kini berikrar untuk memusnahkan hidupnya sebagai balasan atas kesalahannya terhadap Zaid.

Drama Jesnita Astro Prima

Drama saspens yang sarat dengan kisah kekeluargaan ini dibintangi Intan Najuwa sebagai Jesnita, Yusuf Bahrin sebagai Rafael serta menampilkan dua supermodel Malaysia terkenal yakni Nasha Aziz sebagai Syafinaz dan Malek McCrone sebagai Zaid.

‘Jesnita’ merupakan terbitan Zeel Production dan diarahkan oleh Emy Suffian. Drama ini turut didukung oleh barisan pelakon popular seperti Rozita Che Wan, Fikry Ibrahim, Nina Smith dan ramai lagi.

Love Novel turut akan berkolaborasi dengan Astro untuk mengadaptasi drama ‘Jesnita’ ke novel. Para penonton boleh menantikan pengumumannya menerusi laman Facebook Love Novel.

Drama Jesnita Astro Prima

‘Jesnita’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 7 November 2022 secara eksklusif di slot Tiara melalui saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.

Post a Comment

0 Comments