Terokai 'Ladang Didi & Friends' di MAHA 2022 Ogos Ini!

Terokai 'Ladang Didi & Friends' di MAHA 2022 Ogos Ini!

Para peminat siri animasi popular yang bersiaran di saluran Astro Ceria, Didi & Friends boleh menyertai ‘Ladang Didi & Friends’ dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang akan berlangsung pada 4 hingga 14 Ogos 2022 di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022. Pameran ini akan dijalankan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor bermula pada jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Buat julung kalinya, penganjuran ini adalah di bawah inisiatif Kelab MAFI dengan kerjasama antara Astro Malaysia dan Warnakala Studio Sdn Bhd untuk menjadikan ‘Ladang Didi & Friends’ sebagai tarikan utama pengunjung bagi memupuk minat kanak-kanak dalam bidang pertanian.

Melalui tema MAHA 2022 iaitu ‘Sekuriti Makanan untuk Masa Depan’ dengan hasrat untuk memupuk dan menyampaikan mesej utama penganjuran kepada kanak-kanak menerusi minat mereka terhadap Didi & Friends, iaitu "Makanan Sentiasa Ada, Mudah Didapati, Mampu Milik dan Selamat Untuk Dimakan" akan disampaikan kepada kanak-kanak melalui pengisian dalam bentuk persembahan Mini Muzikal.

Berunsurkan kandungan edutainment, penceritaan Didi & Friends yang padat dengan pengajaran sering menjadi pilihan utama setiap ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka secara santai tetapi menghiburkan. Untuk mendidik anak-anak tentang kepentingan pertanian dan industri makanan, pihak penganjur mengambil peluang untuk mempersembahkan pembelajaran ini dalam bentuk hiburan yang penuh dengan suasana ladang serta menyediakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik bersama-sama dengan Didi & Friends.

Antara kawasan aktiviti tersedia secara percuma di MAHA 2022 kali ini untuk seisi keluarga adalah di Pekan Horey, di mana ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke gerai-gerai yang disediakan untuk membeli barangan eksklusif daripada tawaran jualan istimewa Didi & Friends termasuk barangan permainan, makanan serta minuman.

Aktiviti kemuncak Didi & Friends di MAHA 2022 kali ini adalah persembahan muzikal mini Didi & Friends yang bertemakan ‘Ladang Pak Atan’, di mana kanak-kanak dan ibu bapa boleh menyanyi dan menari bersama karakter-karakter Didi & Friends dengan lagu-lagu yang mengetengahkan kepentingan pertanian dan makanan dalam kehidupan.

Muzikal mini anjuran Kelab MAFI ini akan berlangsung pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja sepanjang pameran dan akan dibahagikan kepada lima slot bermula jam 12.00 tengah hari, 2.00 petang, 4.00 petang, 6.00 petang dan 8.00 malam, selama 30 minit setiap persembahan. Mereka yang berminat untuk menyaksikan persembahan muzikal daripada karakter-karakter ini boleh mendapatkan tiket di pintu masuk pameran atau di tickets2u.com.my dengan harga RM32.00 untuk tiket VIP (tempat duduk eksklusif dan peluang menyertai Meet & Greet bersama Didi & Friends) dan RM12.00 untuk tiket biasa (menikmati persembahan Didi & Friends). Tiket untuk kanak-kanak yang berumur 1 tahun dan ke bawah adalah percuma.

Eksklusif untuk para pelanggan Astro di hujung minggu, mereka boleh menebus tiket persembahan muzikal mini Didi & Friends yang diadakan pada hari Sabtu dan Ahad, di kios Astro Rewards pada hari yang sama. Para pelanggan dikehendaki berada di tapak kios sekurang-kurangnya 20 minit sebelum acara bermula. Peluang untuk menebus tiket ini adalah terhad dan setiap pelanggan hanya boleh menebus satu tiket seorang sahaja untuk slot persembahan pilihan mereka. Bukan itu sahaja, pelanggan Astro juga boleh menebus satu set pelitup muka kanak-kanak eksklusif Didi & Friends secara percuma. Untuk maklumat lanjut, layari https://rewards.astro.com.my/.

Terokai 'Ladang Didi & Friends' di MAHA 2022 Ogos Ini!

“Kami sangat berbangga Didi & Friends menjadi sebuah animasi yang digemari kanak-kanak dan sesuai untuk dijadikan sebagai hiburan yang mampu mendidik mereka dalam pelbagai topik. Buat pertama kalinya, Didi & Friends menyertai dan menyokong pameran MAHA 2022 ini dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang bukan sahaja mampu memberi mereka pengalaman yang baharu tetapi juga memberi mereka pencerahan tentang pertanian serta kebaikan bercucuk tanam, sayur-sayuran dan buah-buahan. Kami berharap semua yang menyertai pameran ini dapat menimba pengetahuan dan berhibur sepenuhnya bersama-sama dengan karakter-karakter kegemaran mereka”, kata wakil Astro, Izrol Izzuddin Ahmad Jamalun Nahar.

“Kami berharap kolaborasi bersama pihak Kelab MAFI pada kali ini mampu memberi pengalaman yang berbeza daripada sebelumnya, pengalaman yang lebih meriah kepada kanak-kanak khususnya yang meminati Didi & Friends. Bukan itu sahaja, kami juga berharap bahawa Didi & Friends akan sentiasa menjadi teman kepada kanak-kanak dalam perjalanan mereka untuk menerokai pelbagai ilmu yang bermanfaat sekaligus mengisi masa lapang mereka dengan keseronokan”, ujar Pengasas dan Pengarah Strategi Kreatif Warnakala Studios, Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian.

‘Ladang Didi & Friends’ akan berlangsung pada 4 hingga 14 Ogos 2022 di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022, bertempat di dewan B MAEPS, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor, pada jam 10.00 pagi sehingga 10.00 malam. 

Dapatkan pelbagai barangan eksklusif Didi & Friends dan menangi pelbagai hadiah menarik di Pekan Horey serta nikmati persembahan istimewa daripada karakter-karakter kegemaran anda di muzikal mini Didi & Friends. Saksikan juga siri animasi ‘Didi & Friends’ di saluran Astro Ceria (611) atau strim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.

Untuk maklumat lanjut mengenai Didi & Friends, sila layari https://www.didiandfriends.com/.

Post a Comment

1 Comments

  1. Wah..Opick ngan Tia suka ni...fav cartoon diorangg, nak plak ibu ayah diorang bertugas kat sini nanti...

    ReplyDelete