Detik Cinta Nyanyian Siso Kopratasa Beri Nafas Baru Lagu Puisi


DETIK CINTA BERI NAFAS BARU LAGU PUISI 

Lagu : Detik Cinta 
Penyanyi: Siso Kopratasa 
Komposer : Siso 
Lirik: Adi & Alim Gutrah 
Hakcipta & Edaran : Luncai Emas Sdn.Bhd 
Penerbit: Luncai Emas Sdn. Bhd. 

Kehadiran detik cinta merupakan inisiatif untuk memberikan nafas baru kepada lagu-lagu puisi agar terus dihayati dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sedar dengan kewujudan pelbagai genre muzik moden pada hari ini menjadikan lagu puisi tidak mendapat tempat dalam kalangan generasi muda. Oleh itu, sampai masanya kita perlu memberikan nafas baharu kepada lagu puisi agar susunan puitis dan maksud yang mendalamnya juga mendapat tempat di hati generasi muda hari ini. 

Detik Cinta merupakan lirik yang dihasilkan oleh Adi Syahid dan Alim Gutrah yang baru berjinak-jinak dengan penulisan puisi dan melodi ciptaan penyanyi lagu puisi terkenal iaitu Syed Indera bin Syed Omar atau lebih dikenali sebagai SISO KOPRATASA. Lagu Detik Cinta adalah sebuah puisi berbentuk luahan rasa cinta, syukur dan sayang seorang isteri kepada suaminya. 


Menurut penulis ‘’Pada asalnya, kami berdua menulis lirik untuk lagu ini bertajuk Puisi Khadijah al- khuwailid bagi jawapan balas kepada lagu ‘’Permata Untuk Isteri’’ yang didendangkan oleh kumpulan Kopratasa’’ . Jika lagu Permata Untuk Isteri adalah puisi seorang suami kepada seorang isteri manakala Puisi Detik Cinta ini adalah puisi seorang isteri kepada suaminya. Kami memberikan kesinambungan kedua-dua lagu di dalam bentuk puisi ketuhanan dan kesufian kerana itu ada perkataan “Aku berjalan di dalam kelam, meraba-raba sepanjang jalan, sekadar tahu tanpa mengenal, menyinta tanpa rasa. Tanpa rasa…”. Katanya. 

Tambah Adi & Alim Gutrah –‘’Lagu ini juga membawa pendengar menyedari dengan melodi yang asyik berkenaan dengan kehidupan ini juga akan dibawa kepada suatu kehidupan kekal selepas kematian. Cahaya itu bukan hanya penting pada kehidupan dunia tapi pada kehidupan pasca dunia yang abadi.’’. 

Penghasilan Detik Cinta dikatakan bermula dengan penulisan puisi. Berbeza dengan penghasilan lagu dalam genre lain yang kebiasaannya terhasil daripada penciptaan melodi terlebih dahulu. Lirik puisi yang dihasilkan oleh penulis telah mendapat sentuhan melodi daripada SISO. 

Pemilihan SISO sebagai penyanyi merupakan satu pemilihan yang tepat. Ini kerana apabila kita bercakap tentang lagu puisi susah pasti kita akan terbayang kepada KOPRATASA. Tambahan pula SISO sememangnya terlibat daripada awal penghasilan lagu ini. 

Mengulas lanjut dari penulis lirik - ‘’Lirik lagu Detik Cinta, kami mengambil masa selama 4 jam untuk berbincang dan menulis setelah meneliti sirah kehidupan Khadijah binti Khuwailid dan lirik lagu Permata Untuk Isteri. Setelah sempurnanya lirik, kami menghantar kepada Siso Kopratasa untuk membuat melodinya seterusnya Encik Hamzan bin Haji Hassan dari Dominant Studio memberikan nafas baharu lagu puisi ini dengan muzik Pop Latin berlatar belakangkan keindahan bunyian alat muzik soprano. 

Siso juga turut menjelaskan- ‘’Kami merakamkan lagu dan rakaman video di Kashfi Studio sdn bhd pada 22 september 2021 manakala lagu ini dikeluarkan pada 12 februari 2022 di saluran Youtube Luncai Emas. Lagu Detik Cinta mengambil masa selama setahun pada 2021 dari mula pembikinan lirik, gubahan muzik, rakaman lagu dan pembikinan video klip lagu Detik Cinta. Proses mengambil masa yang panjang kerana larangan pergerakan ke luar negeri kerana PKP. 

Apabila berbicara tentang lagu-lagu puisi sudah pasti bayangan kita akan terarah kepada kumpulan kopratasa. Siso merupakan salah seorang kumpulan kopratasa yang banyak membantu dari awal bimbingan penulisan lirik ini dan sudah pasti beliaulah orang yang sesuai untuk melantunkan bait-bait lirik ini. 


Lagu terkini Siso bersama Sani Sudin & Usop (Kopratasa) adalah berjudul ‘Selamat Hari Raya’ (rakaman semula lagu yang dipercayai lagu pertama Hari Raya Aidilfitri Tahun 1936) yang telah lancar Mei 2021 lalu di bawah youtube Luncai Emas. 

Luncai Emas selaku penerbit mengambil peluang sempena bulan ramadan ini untuk mengajak semua untuk menonton video klip Detik Cinta di saluran youtube Luncai Emas , dan mendengarkan audio rasmi di semua saluran digital. Luncai Emas bertindak sebagai pengedar single ini secara jualan digital di platform streaming, Youtube dan iTunes. 

Akhir kata dari Siso ‘’ Pusi Detik Cinta merupakan satu seni kata yang merujuk kehidupan. Perjalanan hidup yang gelap memerlukan satu cahaya walau sebesar lilin sebagai panduan meniti jalan yang penuh onak dan ranjau. Jom kita hayati Puisi Detik Cinta;’’ Lagu ini diharap dapat mengangkat kembali lagu-lagu puisi dengan irama yang lebih segar. Seterusnya mendapat tempat dihati semua golongan dan masyarakat di Malaysia khususnya dan Nusantara amnya. 

Sekian, terimakasih !
LUNCAI EMAS SDN BHD

Post a Comment

1 Comments