Saksikan Drama Setelah Terlafaznya Akad 2 di Astro Ria


‘Setelah Terlafaznya Akad 2’ Bagaikan Fiksyen Menjadi Realiti


FORMAT DAN INFO SIARAN DRAMA ‘SETELAH TERLAFAZNYA AKAD 2’


Astro Ria kembali membawa kisah percintaan antara Hanan dan Nawal dalam naskah musim keduanya, iaitu ‘Setelah Terlafaznya Akad 2’. Drama bersiri terbitan Juita Viden Sdn. Bhd ini memaparkan naratif perjalanan emosi sebuah pasangan suami isteri yang sering diketengahkan dalam isu rumah tangga di kalangan masyarakat seperti pergaduhan, penderaan, sikap dengki dan amalan sihir.

Penceritaan menerusi 20 episod ini mengisahkan rumah tangga Hanan dan Nawal tiga tahun selepas lafaz akad keduanya. Kehidupan mereka menjadi lebih bahagia dengan kedatangan puteri sulung mereka, Qadeeja. Nawal juga dikejutkan dengan kandungannya yang kedua yang membawa warna pelangi dalam perkahwinan mereka. Namun kebahagiaan ini hanya sementara. Pertengkaran antara mereka berdua membuatkan Hanan memilih untuk pergi membawa diri. Kehadiran bapa tiri Nawal, Nawab, mengembalikan trauma Nawal di waktu Hanan pula tiada di sisi. Hanan semakin membenci Nawal akibat perbuatan Ida. Kebencian yang tercetus oleh Hanan kepada isterinya ini rupanya adalah perbuatan Ida yang menggunakan sihir pemisah kepada mereka atas perasaan hasad dengki kepada Nawal.

Drama sensasi ini mengembalikan kombinasi romantik Kamal Adli sebagai Hanan dan Uqasha Senrose sebagai Nawal yang kini bergelar suami isteri. Drama bersiri ‘Setelah Terlafaznya Akad 2’ merupakan arahan sutradara yang disegani ramai, Michael Ang dan turut didukung oleh barisan pelakon hebat seperti Normah Damanhuri, Talha Harith, Musyi, Hamidah Wahab, Hiera Hasan, Nasz Sally, Seha Monica, Ellyas Abdullah, Adam Shah dan Zeera Azizi.

Setelah Terlafaznya Akad 2 akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 1 Jun 2022 secara eksklusif di slot MegaDrama melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.



PETIKAN KENYATAAN RASMI


Norzeha Mohd Salleh
Pengurus Saluran Astro Ria

“Pasti ramai yang ingin tahu sambungan kisah rumah tangga Nawal dan Hanan setelah kesudahan musim pertama ‘Setelah Terlafaznya Akad’.

Memandangkan adanya permintaan yang tiada putus-putus daripada para peminat drama tempatan, kami merasakan masanya sesuai untuk membawa kesinambungan kisah romantik mereka, apatah lagi kedua-dua pelakon utama, Kamal dan Uqasha sudahpun bergelar suami isteri. Chemistry di antara mereka memang tidak dapat disangkal lagi sehinggakan fiksyen itu menjadi realiti menerusi ‘Setelah Terlafaznya Akad 2’ .

Jika terdahulunya, naratif lebih tertumpu kepada pelbagai konflik tercetus di antara mereka yang disulamkan dengan bibit-bibit awal pencintaan mereka, musim kedua pula lebih tertumpu kepada kehidupan mereka mengharungi dunia perkahwinan. Perkahwinan mana yang tidak diduga dengan cubaan atau masalah? Baik sesama sendiri mahupun campur tangan orang luar.

Kisah Nawal dan Hanan mirip-mirip kisah hubungan suami isteri di kalangan masyarakat kita. Apa yang dilalui mereka sepanjang penceritaan musim ini, sudah pastinya dilalui kebanyakan mereka yang sudah berumah tangga.

Sekali lagi Michael Ang menggalas tanggungjawab sebagai sutradara ‘Setelah Terlafaznya Akad 2’. Beliau memberikan naskah yang begitu hebat serta efektif dalam menyampai segala sisi-sisi penceritaan kisah percintaan antara Nawal dan Hanan. Menerusi penceritaan Michael, dia menunjukkan transisi kedua-dua watak utama dari musim pertama ke musim kedua. Pasti para penonton dapat mengesan kematangan serta kedalaman watak Nawal dan Hanan dalam melayari bahtera perkahwinan mereka.

Kerjasama antara pengarah drama ini amat kami hargai kerana keberanian dan kreativiti beliau membuatkan drama ini nampak lebih intense. Naratifnya bakal membuat para penonton terikut-ikut dengan dramanya, lebih-lebih lagi dengan gandingan dua orang pelakon yang disegani ramai.

Dengan penerbitan drama ini, kami berharap para penonton dapat mengambil pengajaran-pengajaran yang ingin disampaikan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang terkesan dengan penceritaannya. Kami juga berharap ramai lagi akan lebih tertarik dengan drama bersiri ini dengan gandingan pertama sebagai suami isteri, Kamal dan Uqasha.

Michael Ang
Penerbit dan Pengarah Drama Bersiri ‘Setelah Terlafaznya Akad 2’

“Drama ‘Setelah Terlafaznya Akad 2’ menyaksikan gandingan hebat sekali lagi daripada Kamal Adli dan Uqasha Senrose dan ini merupakan drama pertama mereka setelah bergelar suami dan isteri. Malah, mereka juga sebenarnya jatuh cinta sewaktu penggambaran ‘Setelah Terlafaznya Akad’ jadi para peminat pasangan ini pastinya akan dapat melihat banyak lagi babak-babak manis mereka seperti mana mereka sendiri melayani satu sama lain di alam realiti.

Tambahan pula, keserasian mereka selepas bergelar suami isteri menjadi semakin baik dan lantas menjadikan lakonan mereka sangat tepat dan hebat seperti yang kami mahukan. Tiada cacat cela yang dapat kami lihat ketika mereka bersungguh-sungguh membawa watak Hanan dan Nawal. Mereka memang sangat profesional ketika berdepan dengan kamera.

Kami sangat berbangga kerana drama pertama ‘Setelah Terlafaznya Akad’ telah berjaya menjadi fenomena dan trend sehingga drama ini menjadi antara carian tertinggi di Google Search pada tahun 2019. Sebagai tanda penghargaan, kami ingin menyambung penceritaannya kepada peminat-peminat drama ini.

Daripada segi jalan cerita pula, drama kali ini akan mempamerkan lakonan Kamal dan Uqasha yang lebih mantap dengan jalan cerita yang lebih intense. Penonton akan dapat mempelajari tentang perkahwinan serta dugaan-dugaannya. Kami cuba tampilkan pelbagai aspek perkahwinan seperti pergaduhan dalam rumahtangga, suami kaki pukul, perasaan hasad dengki dan juga amalan sihir.

Melalui drama ini, kami berharap para penonton dapat mengambil iktibar akan bahayanya perasaan hasad dengki terhadap perkahwinan orang lain serta amalan sihir pemisah. Kita jangan sangka perkahwinan yang dianggap indah itu tiada ujian dan dugaan. Banyak pengajaran dan nilai-nilai murni yang dapat diperoleh melalui jalan cerita kali ini. Semoga para penonton dapat menikmati babak-babak bittersweet yang kami paparkan dalam drama ‘Setelah Terlafaznya Akad 2’ ini.”


TRIVIA MENARIK DRAMA ‘SETELAH TERLAFAZNYA AKAD 2’


1. Drama ini merupakan drama Kamal Adli dan Uqasha Senrose yang pertama setelah bergelar pasangan.

2. ‘Setelah Terlafaznya Akad’ musim pertama telah berjaya menjadi naskah teratas di Google search 2019 dalam kategori drama. Mereka kini kembali untuk musim yang kedua.

3. Sebuah drama yang mengisahkan perjalanan emosi sebuah perhubungan dengan unsur realistik termasuk pengamalan mantera perpisahan yang licik, percintaan yang menakluki semua serta perdamaian.

4. Drama ini juga menerokai bagaimana pengamalan mantera perpisahan ini mampu tercetus dalam alam perkahwinan serta cara-cara untuk mengatasinya.

5. Drama ini menunjukkan keserasian gandingan antara Kamal Adli dan Uqasha Senrose yang tidak pernah disangkal oleh penonton.

6. Konflik dalam drama kali ini menjadi lebih tegang dan rumit jika dibandingkan dengan musim pertama.

7. Watak Tok Ma yang dimainkan oleh Norlia Ghani dalam musim pertama telah digantikan dengan Normah Damanhuri. Beliau digantikan atas sebab kesihatan.

LOGLINE DRAMA ‘SETELAH TERLAFAZNYA AKAD 2’

Perkahwinan Hanan dan Nawal diganggu oleh pihak ketiga yang cuba memusnahkan hubungan mereka. Kehamilan Nawal menjadi berisiko dan akhirnya dia keguguran. Hanan juga berubah akibat terkena sihir pemisah.


SINOPSIS DRAMA ‘SETELAH TERLAFAZNYA AKAD 2’

Tiga tahun setelah lafaz kedua, rumah tangga Hanan dan Nawal bertambah bahagia dengan adanya Qadeeja. Namun perangai mengada Nawal dan sikap kedekut Hanan masih tidak berubah yang mengakibatkan perhubungan mereka terkesan dengan perangai masing- masing.

Nawal disahkan mengandung anak kedua. Dalam meniti kebahagiaan sebagai seorang isteri, Nawal tahu Ida sebenarnya ada hati pada suaminya tetapi Hanan selalu menidakkannya dengan mengatakan bahawa kononnya Nawal berperasaan cemburu tidak bertempat.

Kehadiran Wahab pula mula merubah corak kehidupan perkahwinan mereka. Nawal difitnah mempunyai hubungan dengan Zaki sehinggakan Hanan percaya. Ini membuatkan Nawal lebih tertekan dan akhirnya dia keguguran, ditambah pula dengan peninggalan Tok Ma yang diserang sakit jantung.

Nawal berasa kecewa apaila Hanan tidak mempercayainya sehingga dia bertekad untuk memilih untuk membawa diri. Pada saat itu, Hairuddin muncul untuk memporak-perandakan lagi hubungan mereka. Mampukah mereka mempertahankan kebahagiaan mereka?

Post a Comment

2 Comments

  1. rasa macam lagi sweet je dorang dua berlakon sama. hehe

    ReplyDelete
  2. ohww..siri kedua dah nak keluar ehh..

    ReplyDelete